Di sini diterangkan aturan kaedah yang diguna pakai bagi menggubal istilah yang (1) paling tepat dan berkesan dari segi penyampaian makna serta (2) berdaya cipta yakni mampu untuk dikembangkan (diimbuhkan dsb.) bagi membentuk istilah, kata atau ungkapan yang baharu.
Penyataan Kaedah Peristilahan ini dirangka berdasarkan rujukan terhadap Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu oleh DBP dan Pedoman Umum Pembentukan Istilah Edisi Ke-3 oleh Badan Bahasa Indonesia serta pertimbangan kami sendiri bagi merangka suatu jalan pertengahan yang terbaik berdasarkan kelebihan dan kekurangan pendekatan kedua-dua pedoman peristilahan ini menurut keperluan dan kesesuaian ciri-ciri yang perlu ada pada suatu istilah yang ingin digubal itu.
Pertamanya, penyataan Kaedah Peristilahan ini dicipta bagi menerangkan dan jika mampu, mempengaruhi penutur BM yang lain supaya menurut alur kaedah peristilahan yang sama. Ini bagi memastikan peristilahan dan kosa peri (diksi) kita ialah yang tidak rancu dengan istilah dan kekata yang serupa sahaja maknanya namun mempunyai sehingga dua tiga serapan yang tidak berkegunaan luas. Misalnya, mengapa perlu wujud 'dogma' dan 'akaid' jika dogma sendiri ialah satu serapan yang sudah mencukupi?
Kedua, supaya tataimbuh kekata kita tidak rancu dan mengelirukan seperti 'kesukarelawan' (sepatutnya kesukarelawanan) dan keilmuwan (sepatutnya keilmuwanan) yakni tidak bergantung kepada sesedap bunyi dan rasa sahaja namun ketepatan makna juga.
Ketiga, supaya khazanah katan seluruh cabang bahasa Melayu yang berdaya guna, cipta dan ungkap yang tinggi dapat ditimbulkan semula dan diperkuat kewujudan serta penggunaannya. Misalnya, 'peleting' (straw), 'pedana' (fosil), 'atur kencing' (potty training), 'bidi' (to tutor) dan 'kerikih' (resourceful) dan banyak lagi. Hal ini ditekankan dengan penyumberan terhadap loghat-loghat bahasa Melayu yang berbeza di seluruh dunia yang terbukti berguna untuk kemajuan bersama bahasa kita untuk menjadi lebih jitu, cekap dan ilmiah.
Ulasan
Catat Ulasan