Pohon cemara di Tanjung Asa,
Singgah dayang dari Patani;
Banian bahasa dewala bangsa,
Budi leluhur kekal abadi.
Tabik mari ke Ujana Istilah, blog khusus untuk perbendaharaan serta penyebaran peristilahan bahasa Melayu yang setepatnya dengan menitikberatkan kemurnian, ketepatan dan kebolehfahaman istilah. Untuk pengetahuan pembaca, blog ini merupakan satu daripada serangkaian blog-blog yang dibangun bagi menyediakan pelantar maya untuk (1) penyebaran, (2) perbincangan dan (3) pencenabetian (dokumentasi) istilah-istilah bahasa Melayu yang betul-betul memanfaatkan kekayaan pelbagai lagak-basa Melayu yang berbeza serta korpusnya secara tepat bagi setiap usul-fikir (konsep) yang diangkat. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa pendekatan penulis tidaklah terlalu sualak-murni (purist) sehingga menggantikan kata-kata sedia mampan dalam menggubal istilah.
Pencetus
Punca kepada wujudnya ikhtiar kebahasaan ini adalah disebabkan kepada keadaan semasa bahasa Melayu dan penuturnya yang kian tumpul dan memiskin dari segi ketepatan peristilahannya sebagai dayung dalam mengharungi samudera pengetahuan yang kian meluas pada zaman moden ini. Misalnya, postmodernism, lookmaxxing dan egosurfing yang terbukti mencabar untuk dipadanankan baik secara baku mahupun basahan oleh penutur bahasa Melayu.
Matlamat
Maka dari itu, blog ini menjadi saluran untuk penulis melontarkan buah fikirnya dalam bentuk padanan bersama pewajaran penggubalan yang dapat pula diulas dan diperbaik oleh pengunjung-pengunjung blog ini. Maka, bukanlah blog ini sebagai sebuah mimpi syok sendiri melainkan usaha untuk menggerakhidupkan pemikiran dan wacana untuk menumbesarkan bahasa Melayu yang tepat, kaya dan ilmiah untuk kemajuan bersama seluruh bahasa Melayu sedunia.